Saya bukan separuh siap



terbaca status yang menarik dari kak dibah



****************************************************************************************************




Saya terilham untuk menulis sesuatu setelah membaca kata-kata yang amat baik daripada seorang perempuan yang sangat molek, manis, dan cantik hati serta rupa parasnya.
Urusan jodoh dan nikah bukanlah lumba lari, siapa-cepat-sampai-dia-menang, siapa-lambat-dia-kalah.
Seorang perempuan tidak hanya seorang perempuan yang fitrahnya harus bersuami dan membela anak-anak, ia juga adalah seorang manusia, warga dunia yang mempunyai seribu satu ruang untuknya - dalam hidupnya untuk dipenuhkan, dalam dunianya untuk diteroka.
Boleh jadi timbul rasa bahawa 'hidup masih belum bermula' dan 'aku masih belum dewasa' kerana gerbang besar itu belum dilangkah. Seolah-olah kehidupan yang dilalui oleh seorang gadis itu sebenarnya tidak lain hanyalah persiapan menunggu nikah, dan selepas akadnya dimeterai barulah ceritanya yang sebenar akan bermula.
Kalian tahu kan, ayat2 cinta 'kau menyempurnakan aku', 'you complete me'..seolah-olahnya manusia yang tidak berkahwin itu adalah 'manusia separuh siap'.
Saya juga kadang-kadang rasa begitu, tapi ternyata ia tidak benar. Kalau saya mati sebelum berkahwin, saya tetap akan dihakimi sebagai hamba Tuhan yang sempurna akal fikiran dan lengkap serba serbi, bukan 'manusia separuh siap'.
***
Selama dua tahun sebelum saya cekap memandu, saya ke mana-mana dengan menaiki bas, kereta sewa dan kalau perlu, berjalan kaki. Memang rasa tidak sempurna jika dibandingkan dengan kawan-kawan lain yang laju meluncur ke sana sini, bebas ke mana-mana sahaja tanpa perlu bersusah payah menaiki pengangkutan awam. Timbul rasa sedih kadang-kadang, mengapalah saya lambat pandai memandu. Ada rasa bimbang, entah-entah saya tidak akan pandai memandu sampai bila-bila.
Namun rupa-rupanya pengalaman dua tahun itu amat berharga, yang tidak akan dapat saya kecap jika saya cepat pandai seperti orang lain. Saya merasa indahnya menaiki bas Kuala Krai - Kota Bharu pada petang hari sampai senja berlabuh. Saya mengenali pemandu-pemandu teksi sekitar Kota Bharu, menyelami kehidupan mereka, sampai ada yang menjadi sahabat keluarga saya. Saya menikmati kesendirian berjalan merayau-rayau di tengah bandar ketika hujan turun renyai-renyai. Saya mengecap manisnya dihantar dan dijemput ibu bapa, pada usia 26 dan 27, di stesen dan perhentian bas setiap kali pulang ke rumah hujung minggu.
Sesudah cekap memandu, nikmat meluncur di atas jalan raya dengan bebas - sesuatu yang saya pernah menyangka tidak akan dapat melakukannya - tidak dapat saya gambarkan.
Namun saya masih merindui perjalanan dalam bas waktu lewat petang menginjak senja, merenung langit, sawah dan bukit perlahan-lahan bertukar warna - kerana orang yang memandu perlu bertumpu ke hadapan, tidak dibenarkan memandang langit di kiri dan kanan.
Sesudah memiliki apa yang diidam-idamkan, kita akan merindui apa yang perlu dilepaskan - kerana setiap peristiwa mempunyai harga.

***
Maka sebelum diberikan perkahwinan, usah dianggap kehidupan belum lengkap atau tidak sempurna. Dunia amat luas, dan hidup yang dipinjamkan Tuhan juga terlalu luas, semuanya milik kita untuk disyukuri dan dipenuhkan. Perkahwinan adalah satu langkah ke arah kesempurnaan, bukan syarat wajib untuk mencapainya.
Maka berdoalah, agar Allah yang Maha Pengasih mencukupkan kita dengan-Nya dalam apa jua keadaan - dalam seorang mahupun berpasangan, sudahnya bukankah apa yang kita sebenarnya mahu hanyalah redha Tuhan?

***
Terima kasih Nor Haryanti Hashim.
Terima kasih kak Adibah Abdullh
Powered by Blogger.
There was an error in this gadget

Text Widget

Contact Form

Name

Email *

Message *

Popular Posts

Flickr Images