Craniosynotosis

Salam~



CRANIOSYNOSTOSIS

Bila ruang-Nya engkau tutup awal dari masa
semata yang sekadar keliru
entah benar entah tipu
penghujungnya nanti kan terlihat jua
yang ditahan, membengkak ke lingkung nyata
yang disembunyi, sendiri ketara bagai ia ada

Untuk apa?
Bila sekadar memperlahan 
dan menambah tekan.

Tidak tercipta lapang tanpa tujuan

Jangan gusar membuka
kerana Tuhan sentiasa ada


(A.H)
2100
21 Januari 2013
Irbid




***************************************************************************

Secara literalnya dalam dunia perubatan, apakah yang dimaksudkan dengan CRANIOSYNOTOSIS?

Sumber : Hafizah Iszahanid [hafiza@bharian.com.my] di BHarian 30/05/2010



Masalah croniosynostosis berlaku satu pada setiap 2,000 kelahiran terutama keluarga berpendapatan rendah

SECARA umumnya, sebarang keganjilan bentuk kepala bayi tidak dapat dikesan sebaik dilahirkan. Malah jika ada pun, ramai ibu bapa yang mengaitkannya sebagai kesan kelahiran yang bersifat sementara.

Apakah tepat persepsi sedemikian? Apa yang pasti, jika keganjilan itu masih wujud dalam tempoh beberapa bulan selepas itu, janganlah berlengah untuk mendapatkan rawatan.

Hakikatnya, masalah bentuk kepala ganjil atau disebut ‘croniosynostosis’ bukan asing di kalangan masyarakat malah ia dilaporkan berlaku satu bagi setiap 2,000 kelahiran. Silap ada yang beranggapan masalah ini hanya mencacatkan penampilan kerana ia juga memberi kesan kepada kepintaran selain meningkatkan risiko pembedahan.

Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Dr Wan Azman Wan Sulaiman, berkata kebanyakan masalah croniosynostosis membabitkan keluarga berpendapatan rendah. Ini mungkin disebabkan faktor tidak mendapat pemakanan seimbang selain tidak mengambil vitamin tambahan sepanjang tempoh kehamilan.

“Walaupun bentuk kepala yang ganjil sangat menonjol, masih ada sebahagian masyarakat beranggapan croniosynostosis perkara biasa. Ini menyebabkan bayi berkenaan membesar dengan keadaan bentuk kepala tidak normal.

“Croniosynostosis adalah satu daripada beberapa kategori kecacatan pembentukan tengkorak sejak lahir. Ia merujuk pertumbuhan suture (garisan anatomi yang menyaksikan plat tulang tenggorak bersambung dan mudah dirasa pada kepala bayi baru lahir) tersekat atau terhad, yang selalunya menyebabkan tekanan pertumbuhan tengkorak (cranial) yang menyebabkan masalah penglihatan dan menjejaskan pembangunan intelek,” katanya.

Kata Dr Wan Azman sebagai tambahan, bentuk kepala yang tidak normal dikaitkan dengan masalah rendah diri dan masalah tingkah laku. Membetulkan kecacatan ini membantu melegakan tekanan tengkorak dan dalam jangka masa panjang, membaiki keyakinan diri.

Tengkorak bayi memiliki tujuh tulang. Umumnya, tulang ini tidak bersambung hingga usia bayi mencecah dua tahun. Ini bagi memberi peluang otak bayi berkembang. Sendi yang dikenali sebagai ‘cranial sutures’ iaitu tisu serat yang kuat bertindak memegang tulang-tulang ini. Di hadapan tengkorak bayi, suture itu bersilang dengan ubun-ubun dengan sifatnya kekal fleksibel hingga tulang bertemu.

Bagaimanapun, jelas Dr Wan Azman bagi bayi yang mengalami craniosynostosis, suture yang mana tulang tengkorak itu bertemu, tertutup sebelum waktunya. Ini menyebabkan perkembangan tulang tengkorak menjadi tidak normal sekali gus menyebabkan bentuk tengkorak menjadi ganjil. Namun, keganjilan bentuk tengkorak itu bergantung kepada suture mana yang tertutup.

“Craniosynostosis boleh menjejaskan satu atau lebih sendi tengkorak bayi. Dalam sesetengah kes ia dikaitkan dengan masalah abnormal yang menghalang otak daripada berkembang dengan sempurna.

“Punca croniosynostosis tidak diketahui sepenuhnya. Namun faktor genetik seseorang itu juga memainkan peranan dan menyumbang antara 10 ke 20 peratus kes. Biasanya faktor genetik dikaitkan dengan beberapa bentuk masalah craniosynostosis seperti sindrom Crouzon, Apert, Carpenter, Chotzen, dan Pfeiffer,” katanya.

Jelas Dr Wan Azman ada beberapa jenis craniosynostosis. Antaranya;
  • Sagittal synostosis (scaphocephaly) - adalah yang paling biasa. Ia menjejaskan suture pada atas kepala. Ia tertutup awal memaksa kepala membesar menjadi lonjong atau panjang. Bayi yang mengalami masalah ini memiliki dahi yang luas dan kerap kalinya membabitkan bayi lelaki.
  • Frontal plagiocephaly - Suture yang terbentuk antara telinga ke telinga dan di atas kepala tertutup hanya pada sebelah saja. Ia menyebabkan tengkorak kepala kelihatan lebih panjang pada satu bahagian dan lebih kerap menimpa bayi perempuan.
  • Metopic synostosis - jarang ditemui tetapi menjejaskan suture pada dahi. Ia menyebabkan dahi menjadi tajam. Keadaan ini boleh terjadi dalam kategori kes yang ringan hingga serius.

Mengenai rawatannya, Dr Wan Azman berkata, masalah ini memerlukan pembedahan. Bagaimanapun jenis pembedahan dan waktu yang sesuai untuk bayi dibedah bergantung pada jenis masalah yang dihadapi.

Bagaimanapun tujuan pembedahan itu tentunya untuk mengurangkan tekanan pada otak, membolehkan otak membesar secara normal dan memperbaiki penampilan anak. Tidak dinafikan, pembedahan kes craniosynostosis adalah sangat kompleks tetapi tidak mustahil untuk dilakukan.

Craniosynostosis yang tidak dirawat boleh menyebabkan kebutaan, kerosakan otak dan keganjilan bentuk tengkorak yang menjejaskan penampilan. Malah ia mungkin boleh menyebabkan halangan pada laluan pernafasan.

Info

Bagaimana mengenal masalah craniosynostosis?
  • Tengkorak yang bersaiz abnormal
  • Tiada ubun-ubun
  • Pertumbuhan kepala bayi yang perlahan atau tiada langsung pertumbuhan



*******************************************************************************

p/s: Percayalah  pada hati dan beriman lah dengan pertolongan Allah. Kullu kheir, insyallah~


Saya tengah rotation Pediatric. Ini lah yang terjadi bila baca buku tapi keluar emosi. Isk2x!




Powered by Blogger.
There was an error in this gadget

Text Widget

Contact Form

Name

Email *

Message *

Popular Posts

Flickr Images