Warisan Cinta

Assalamualaikum

" Chara...buat..kerim-nya.. Buboh... champuran...achuan .....ayer rose....bentok macham.... arggghhhh! Kak Ina, tolong ah~  tension aku buat benda nih ... "

Asyraf dah mula garu kepala. Barangkali sudah penat otak dan mata. Padahal belum sampai pun lima minit lagi dia memulakan operasi ini.

Kepingan-kepingan kertas usang yang bertimbun di sebelah komputer kami nampaknya bukan mudah untuk diterjemah oleh seorang anak muda yang kurang fasih tentang bahasa lama. Tapi kerana kasih dan sayang (dan errr upah yang agak lumayan kononnya), maka digagahi juga untuk bersabar dengan usaha membaik pulih warisan cinta milik keluarga kami ini.


Asyraf yang sedang giat bekerja

[ nota ringkas : Tok adalah gelaran untuk ibu kepada abah, dan tokwan adalah gelaran kepada bapa kepada abah saya ]

Sebenarnya, kertas-kertas bertulis yang sudah dimakan usia ini adalah milik tok dan tokwan sejak zaman-berzaman lagi. Malah dengarnya sejak zaman Maklong belum lagi lahir pun, buku ini sudah mula dihasilkan. Maknanya berkemungkinan besar buku ini sudah mencecah usia lebih 50 tahun. 

Ia bukan calang-calang buku. Semuanya adalah bertulisan tangan. Dan setiap satu patah perkataan di dalam buku ini semuanya adalah hasil titik peluh tokwan yang begitu rajin menulis setiap resepi yang dijumpai di luar  untuk disimpan dan digunakan oleh tok untuk tujuan saja-saja masak dan juga jualan. Fuh, romantik ok~

Maka dengan berbekal kan buku inilah, sepanjang peninggalan tokwan ke tempat kerja, tok memasak dan membuat kuih untuk dijual di Temerloh, Singapura, Taiping dan pelbagai lagi tempat( sebab tokwan askar, jadi selalu pindah randah) sampai lah zaman Acu dah berkerja, baru tok berhenti jual kuih raya- Dan yang menjualnya tentulah abah dan adik beradik.

Macam comel pula saya nampak. Terasa satu keluarga semua bersatu padu mencari nafkah jual kuih termasuk tokwan yang kerjanya menyalin resepi kuih-muih tu. Dari ayah ke ibu ke anak, semua tolong-monolong. =)


Seingat saya dahulu waktu saya sekolah rendah, buku resepi tokwan ni masih utuh walaupun dah kusam. Kami selalu bawak keluar guna buku ini waktu dekat raya sebab kebiasaanya kami sepupu sepapat akan gotong royong tolong tok buat kuih raya untuk di jual waktu kami kecil.

Pernah sekali dua saya sumbangkan masuk resepi yang saya terjumpa dulu, syaratnya mesti bukan kuih muih yang tokwan dah biasa tulis. Biskut modenlah kiranya. Bakinya banyak saya sendiri yang salin resepi penting lama ke buku sendiri, sebab bukan senang nih tokwan nak kasi pinjam buku resepi dia untuk dibawa keluar rumah. Istimewa katanya, takut hilang. Hehe. 

Tapi sejak empat lima tahun ni seingat saya tok dah tak menjual kuih raya. Acu sahaja yang kadang-kdang buat kuih raya untuk famili. Tapi sebab dah biasa buat, kadang-kadang dah tak payah bukak buku dah. Semua dah ada dalam ingatan tok. Maka dengan itu, buku ini pun semakin jarang menunjukkan muka. Terperuk dalam simpanan tokwan. 

Tahun ini bila tokwan dah tak ada, entah macam mana tok teringin nak buka balik buku resepi ini. Malangnya masalah terjadi bila masing-masing tak tahu mana tokwan simpan buku berharga keluarga ini. Jenuh memunggah. Sampailah akhirnya kami semua terjumpa buku ini di celah-celah timbunan buku-buku lama tokwan di sudut salah sebuah bilik di kampung.

Keadaan buku ini sekarang dah cukup menyedihkan. Suku dah dimakan anai-anai dan muka suratnya pun dah berterabur pecah terpisah. Nasib baik tokwan letak mukasurat, senang lah nak cari susunan. 

Disebabkan rasa sayang sangat dekat buku yang penuh memori ni, abah ambil keputusan untuk salin balik semua resepinya. Alang-alang masih boleh baca lagi, baik simpan sekarang. Tok dan para makcik pakcik pun setuju. Dan tukang penyalin nya siapa lagi? Anak-anak abah la jawabnya - dengan upah 50 ringgit kalau boleh habis salin dalam masa 2 hari - which is dah failed dah pun sebab payah sangat nak baca tulisan tokwan yang sangat itallic dengan bahasa lama yang agak memeningkan kepala. Antik sangat nih. Macam baca batu bersurat je kitaorang rasa. Haih. *Pening*


Sekarang dah masuk hari keempat operasi pembaik pulih buku resepi warisan. Separuh buku pun tak habis lagi salin masuk komputer. Masakan tidak, membaca pun dah terkedek-kedek. Belum campur dengan tanda baca yang jarang ada, haru-biru nak betulkan komposisi ayat resepi tokwan yang simple tapi kompleks dibaca. Macam mana lah tok boleh baca dengan gilang gemilangnya dulu. Cucu-cucu ni dah rasa boleh naik rabun baca macam nih. heh.

Tapi takpelah, sebab sayang punya pasal jadinya Asyraf dan saya insyallah akan cuba jugak habiskan untuk terjemah buku ini secara bahasa melayu zaman moden dengan tulisan news roman untuk dihadiahkan kepada abah yang akan menghadiahkan pula kepada tok sebagai tanda ingatan dari tokwan tercinta yang dah tiada. Alang-alang kami dah nak habis cuti, mungkin ini boleh jadi kenangan juga untuk keluarga kami sendiri nanti kan?

Dan yang paling saya suka untuk ketengahkan melalui perkara ini adalah saya tak nampak bayangan tokwan akan hilang daripada kami dengan adanya buku-buku resepi tokwan ni. Tulisan itu tetap kekal walaupun penulisnya telah tiada. Itu antara kelebihannya pada penulisan di kalangan kita. Tak kiralah buku ke diari ke blog ke puisi ke artikel ke atau apa-apa sekalipun bentuk penulisan, selagi mana ia terus wujud walaupun selepas kita tiada, insyallah manfaatnya tetap kekal selagi ada yang membacanya. Dan bila dibaca, terasa-rasa seperti penulisnya ada di sisi kita. 

 Dengan ini, saya juga mengharapkan semoga dengan terbaik-pulihnya resepi tokwan ini, semoga pahalanya terkirim sama ke sana. Untuk tokwan yang kami cinta. Alfatihah~ 

Khas untuk keluarga tersayang...

Tulus ikhlas dari Arina & Asyraf

** Doakan kami cepat habiskan projek ini. =D



2 comments

-hazen | August 7, 2012 at 4:20 AM

lagend!

beri sokongan penuh.

Anonymous | August 8, 2012 at 3:53 PM

Allah! Allah! Muga ilmu yang diturunkan oleh tok wan akan menjadi pahala yang berterusan baginya bak air yang sentiasa mengalir. Cantik dan teratur sungguh tulisan tok wan.

Powered by Blogger.
There was an error in this gadget

Text Widget

Contact Form

Name

Email *

Message *

Popular Posts

Flickr Images