Kita dan Mereka : Di mana bezanya?

1:14 PM 0 Comments A+ a-



Assalamualaikum

"Kerana cinta, aku mampu bersungguh demi sebuah perkara "

Benar atau tidak, di sini saya temui jawapannya......

Pagi ini atas kerana minat yang tinggi pada yang bernama kisah sebuah sejarah apatah lagi berhubung dengan keunikan personaliti-personaliti yang bakal dikupas dan diulas, maka saya menyanggupkan diri hadir ke program SEARCH 10 yang diadakan kali ini.

Alhamdulilllah berbekal para pembentang yang hebat dan kajian yang sukar digugat, saya benar-benar berpuas hati dengan ilmu yang kami perolehi hari ini. Bukan sekadar kisah dodoian buat halwa telinga yang kekeringan, malahan juga kami disingkapkan dengan realiti dan hakikat situasi di mana titik tunjang perbezaan masa dulu dan kini jelas tertampang untuk dimuhasabah kembali.

Benar bukan mudah untuk menjadi sehebat Al-Razi atau sealim Imam Shafiee, tapi persamaan utama kita iaitu landasan tauhid yang satu dan tugas diri sebagai penuntut ilmu perlu kita sama sedari bahawa sebenarnya kita juga mampu berdiri sejauh itu andai beberapa perkara dan etika yang penting dapat kita pegang seperti mana kukuhnya ulama-ulama Islam terdahulu.

Cukuplah saya ringkaskan sebagai nota beberapa khususan penting yang saya kira wajib untuk ketahui bagi menyedarkan diri perbezaan kita dan mereka agar wujud dalam hati ada keinginan untuk lebih berjaya dan berusaha mencapai misi.

1) Kenapa kita harus tahu sejarah cendiakawan Islam dahulu?
- Perintah Allah dan saranan nabi
- Supaya akar umbi penemuan dapat kita perhalusi
- Sebagai pengukuhan akidah dan iman
- Agar keizzahan terhadap Islam makin meninggi
- Supaya umat Islam dapat kembali di-islahkan (diperbaiki)

2) Kualiti apa yang cendiakawan Islam dahulu ada hingga mereka mampu berjaya?
- Semangat cintakan ilmu yang teramat tinggi hingga sanggup diutamakan walau apa halangan yang bakal ditempuhi
- Kemampuan memahirkan diri dalam kepelbagaian bidang yang berbeza dan luas
- Bersemangat demi untuk menegakkan kebenaran
- Ketaqwaan yang tinggi kepada Allah dan niat yang betul


Kami kemudian dibawa menyelusuri sirah-sirah kehidupan beberapa cendiakawan Islam yang sangat kritis dan bermotivasi tinggi seperti Al-Razi, Al-Zahrawi, Ibnu Sina, Imam Shafie dan pelbagai cendiakawan Islam yang lainnya seperti ini. Bukan sekadar ilmuan dahulu, malahan professor zaman 1990-an juga turut dimuatkan di dalam kisah-kisah penceritaan pada hari ini.

Siapa yang hidupnya sangat cintakan Ilmu hingga sanggup menjual tiang rumah demi membayar yuran agar ilmu dapat diperolehi?

Siapa yang hidupnya sangat berbakti dan menghormati pesakit hingga wujudnya ilmu Etika di dalam bidang yang diceburi?

Siapa yang hidupnya sangat bertunjangkan kebersihan hingga mampu mencari tapak hospital yang paling sesuai didirikan bangunan dengan menggunakan prinsip kebersihan ini?

Siapa yang hidupnya berjaya mengubah kiblat diri setelah bertemu kebenaran kisah embryologi di dalam Al-quran selepas bertahun kajian dan misi pencarian dilakukan sekuat hati?

Siapa yang hidupnya dipenjara, dirotan dan dipaksa minum racun hingga mati hanya kerana mempertahankan sebuah kebenaran ilmu yang dianuti?

Siapa yang hidupnya diabadikan sebagai pencetus kajian ilmu falsafah di kalangan umat Islam walaupun diri berhadapan risiko tergugah akidah dan iman di hati?

Siapa yang hidupnya berjaya mewujudkan sebuah buku teks yang mampu bertahan digunakan hingga 900 tahun tak berhenti?

Siapa yang hidupnya penuh kisah pencarian Ilmu hingga digelar Nasirul Sunnah (Pembenteng Sunnah) dan kekal tersahih hingga ke akhir ini?

Siapa? Siapa? Dan siapa? :)

Kisah-kisah inilah yang saya nantikan dalam pencarian hikmah di balik sejarah. Semuanya penuh motivasi. Walaupun ada yang sudah saya dengari tapi saya kira ini adalah takzirah, pengingat dan pencetus kembali obor semangat yang kian malap dalam perjalanan saya mencari ilmu di sini.

Kehebatan mereka sangat terserlah. Dengan bertunjang ketaqwaan dan keinginan memberi sumbangan untuk masyarakat, sehingga kini mereka kekal masyhur sebagai penerima pahala atas segala ilmu yang mereka gagaskan buat tatapan kita. Indahnya saham ini.

Maka hari ini di tahap mana kita berdiri?

Setinggi mana cinta kita pada ilmu pengetahuan?

Adakah mampu kita katakan kebosanan mampu dihilangkan dengan mencari ilmu seperti mereka dahulu?

Sejauh mana sumbangan kita pada ummah?
Adakah mampu kita hasilkan sekurang-kurangnya sebuah kitab untuk rujukan kajian di masa depan?

Sekukuh mana kecekalan kita tidak berputus asa?
Adakah mampu untuk dihumban dan dipenjara sedangkan dimarah doktor/markah rendah pun sudah jadikan kita hampir separuh gila?

^_^ Fikirkanlah sendiri kerana saya juga sudah puas mengembara di dalam seminar tadi~

Cukuplah, masa nampak sangat mencemburui..

Hari ini saya mahu cuba berdisiplin setegas seperti Al-Zahrawi, bijak membahagi masa sehandal Imam Shafiie, sekritis Ibnu Sina dalam memandang jauh kemudian hari dan mencintai ilmu sedalam cinta-cinta para cendiakawan Islam yang saya kagumi.

Kerana kecintaan mereka inilah, mereka telah berjaya.

Dan kerana itu juga, saya sudah memasang tekad mahu turut sama menurut langkah yang serupa.

FIGHTING !

Jumpa lagi...

***********************************************************************************
p/s:

1) Kepada para ibu di Malaysia khususnya Mama kesayangan saya dan Mak Ana : SELAMAT HARI IBU~ ^_^

2) Kepada kontigen Irbid Akhawat KARISMA, terima kasih untuk segalanya terutamanya malam dinner tadi. Ku sangka diri sudah trauma masuk KARISMA, tapi bila difikirkan balik itu semua kenangan manis kita rupanya. Tak jadilah trauma dah! hehe.. You are the best team ever guys! ^_^

3) Ya Malazie fi Urduni..... baca ini. Wallahi, macam menakutkan tapi sepanjang yang pernah saya alami, banyak kebenarannya.

**********************************************************************************
Powered by Blogger.

Text Widget

There was an error in this gadget

Contact Form

Name

Email *

Message *