Tarbiyah Kepimpinan



Salam

Saya tak mahu berkisah tentang pilihan raya. Itu sudah sudah cukup popular di mana-mana. Saya cuma mahu bercerita kepada mereka yang bakal jadi ketua tapi takut untuk mencuba. Sekadar mahu mencatat beberapa cebis pengalaman saya menjadi barisan hadapan untuk teladan sebelum saya menyerahkan tugas kepada mereka yang seterusnya. Mana tahu mungkin berguna untuk mereka yang baru belajar seperti saya dahulu. Berfikirlah sebelum membuat keputusan. ^_^

Dalam sepanjang tempoh setahun ini, banyak perkara yang saya baru pelajari. Saya akui, kesanggupan menyertai barisan kepimpinan di barisan PERMAI memang perlu disertai dengan kepasrahan untuk berhadapan dengan pelbagai risiko yang bakal menjelang. Bukan senang tapi bukan juga mustahil untuk dihadapi. Selain mahu berkhidmat, antara niat utama saya dahulu adalah untuk belajar dan menimba pengetahuan. Dan alhamdulillah, semuanya terlaksana. Saya memimpin dan dipimpin dalam masa yang sama.

Pertamanya, kepimpinan sekolah dan kepimpinan universiti adalah dua buah dunia yang berbeza. Apatah lagi apabila yang mereka yang di bawah adalah dari golongan yang bijak-bijak belaka dan senior-senior yang lebih hebat dan berpengalaman. Itu adalah ketakutan utama saya. Apatah lagi apabila biro saya adalah biro yang penuh dengan warta dan peraturan.Kalau salah gaya, tak mustahil boleh timbul huru-hara.

Tambahan, golongan mahasiswa bukanlah kanak-kanak yang boleh sewenang-wenang diarah begitu-begini. Dari sini, saya belajar untuk bertindak secara fleksible. Tak terlampau keras dan tak terlampau lembut. Kita main tarik tali. Lebih berkesan kalau fakta kes dan risiko masa depan dijadikan hujah untuk menarik mereka berfikir. Tak payah banyak cakap. Ayat paling kritikal "pandai buat, pandai tanggung". Alhamdulillah, saya makin cekap mempengaruhi manusia. Hehe...

Kedua, status Kebajikan dan Keselamatan sekaligus nak tak nak menarik saya menjadi seorang manusia yang amat prihatin dengan keadaan sekeliling. Barangkali frasa paranoid lebih sesuai. Di awal sesi, saya cepat gelabah dan kelam-kabut berhadapan dengan kes-kes yang terjadi di sini. Risaukan hal orang satu hal, risaukan diri sendiri yang nak kena berdepan dengan orang yang terlibat pun satu hal.

Bukan semua orang bersikap terbuka. Untuk mendapatkan kepercayaan bukan sesuatu yang mudah. Saya perlu tahu menarik mereka untuk mempercayai saya dan berkongsi masalah dengan saya. Tertekan. Itu perasaan saya dulu. Tapi lama-kelamaan saya belajar dari persekitaran dan pengalaman. Sampai ke saat ini, saya masih belum khatam belajar tentang perangai manusia. Banyak orang, banyak ragam. Tapi menarik. Saya kira ini boleh jadi bekal untuk saya berkhidmat sebagai doktor masyarakat kelak. Insya-allah.

Ketiga, sebagai pembekal ubatan PERMAI, saya berpeluang mengaplikasikan subjek farmakologi dalam kehidupan seharian saya. Ini khas untuk biro saya saja la ya. Walaupun ubat yang telah saya pelajari hanyalah satu per tiga dari ubat yang ada dalam first aid, tapi berkat ajaran senior-senior medik yang lain berkenaan ubat-ubat tersebut, saya lebih kenal dan lebih tahu tentang kegunaan mereka. Tentulah, kalau pembekal sendiri tak tahu, macam mana nak rawat orang kan? Takkan main hentam kasi sahaja, ye tak? Tambah-tambah kalau yang sakit itu bukan pelajar medik, lagilah mereka mengharapkan keterangan kita tentang ubat tersebut. Saya suka first aid!

Keempat, memegang jawatan ala-ala polis menyebabkan saya selalu kena bajet berani depan orang ramai. Walaupun dah selalu bajet berani, tapi bila diamanahkan menjaga keselamatan orang lain di tempat yang bukan tempat kita, ketakutan yang lebih ketara terpaksa disorokkan dengan menjadi manusia yang lebih berani daripada sebelumnya.

Walaupun bukan saya yang kena handle urusan dengan polis Jordan (itu semua kerja budak lelaki) , tapi terasa macam satu fitrah timbul perasaan mahu melindungi orang di bawah kita. Jadi, waktu itu kita akan mula fikir macam-macam benda itu memberi jaminan keselamatan kepada mereka walaupun konfirm lah takkan boleh jadi bodyguard 24 jam. Yang saya suka, bila keberanian itu dah dibiasakan, automatik kita boleh kontrol keadaan dan tak terlampau gelabah walaupun kena sergah tengah jalan, insyaallah.

Kelima, dulu waktu jadi orang luar, saya pernah tertanya-tanya kenapalah PERMAI suka mesyuarat lama-lama, kenapalah AMM PERMAI macam tak buat kerja, kenapalah begitu, kenapalah begini. Melihat dari luar cermin hitam yang lut cahaya, memang selalunya kita hanya akan nampak diri sendiri. Diri sendiri terasa lebih betul walhal kita langsung tak nampak apa sebenarnya yang berlaku di dalam. Itu yang saya rasakan.

Berkecimpung sendiri dalam kerja PERMAI buat saya mula faham apa yang berlaku di balik tabir PERMAI. Rupanya yang bernama pemimpin ini kebanyakannya bersikap seperti 'aisberg'. Yang jelas nampak kecil, tapi bila diintai dalamnya terlampau besar. Patutlah tak ramai mahu cuba nasib terjun berkerja di atas nama pemimpin PERMAI. Hatta saya sendiri selalu terfikir untuk cukuplah hanya sekali saya masuk. Buat kerja tolong-tolong lebih ringan daripada buat kerja kena tanggung. Tapi saya yakin, mereka ini semuanya hebat. Kalau tidak, masakan sanggup bersusah demi orang lain. Moga Allah balas jasa kalian dengan balasan yang setimpal. Amin..

Keenam, bila masuk PERMAI, saya lebih terdedah dengan masyarakat. Saya terfikir bahawa platform utama untuk mengetahui setiap hal yang berlaku di sekeliling kita adalah dengan menjadi pemimpin di kawasan tersebut. Banyak sangat perkara yang terhijab bakal terbuka bila anda jadi pemimpin. Dan waktu ini, anda akan belajar bahawa inilah sebenarnya masyarakat kita. Yang elok, yang jelik semuanya terpampang jelas. Ada sesetengah perkara yang tidak semua tahu, kita perlu tahu sebagai pemimpin.

Hakikat yang akan terlihat inilah yang saya rasakan bakal memberi aras baru kepada kematangan kita dalam hidup kerana waktu ini banyak benda baru yang akan kita hadapi dan perlu kita harungi untuk ke hadapan. Di sini lah medan ujian kita sama ada kita boleh survive atau kita akan hanyut bersama. Itu hakikat keunikan menjadi pemimpin. Lebih mencabar tapi lebih memuaskan andai kita berjaya.

Ketujuh, faktor masa. Satu aspek besar yang saya kira sangat mencabar saf-saf kepimpinan di mana-mana sahaja. Belajar dan berpersatuan bukanlah perkara remeh. Salah imbang, empunya diri bakal susah. Terlampau berpersatuan, pelajaran tergendala. Terlampau belajar tanpa menghiraukan persatuan, masyarakat bakal huru-hara. Itu risiko utama. Nak tak nak, memang kena selalu plan masa.

Yang paling saya selalu rasai ialah kecemburuan melihat rakan-rakan lain punya masa lapang yang terlampau banyak untuk dinikmati. Tapi semuanya selalu lenyap bila rakan sepersatuan selalu mengingatkan masa yang dibeli Allah bakal diganti dengan ganjaran syurga jika ikhlas. Alhamdulillah, semoga janji ini boleh saya tuntut di akhirat kelak.

Kelapan, kerjasama yang utuh. Berada di posisi ini sudah tentu membuatkan stress dan tekanan itu menjadi perkara normal. Tapi yang boleh menyelamatkan keadaan ialah kesanggupan rakan sekerja untuk saling sama menyokong tak kira dalam apa jua keadaan sama ada gerak kerja, akademik atau sebagainya. Saya kira, ini tunjang utama kekuatan saya untuk terus berdiri dalam persatuan sepanjang tahun ini. Kalau bukan mereka yang lain, saya pasti susah mahu kembali bangkit setelah beberapa kali tersungkur diuji mehnah berpersatuan. Syukran jazilan kalian. Terima kasih kerana mempercayai kekuatan saya dan terima kasih kerana selalu menyokong saya.

Dan yang terakhir, di akhir sesi tugasan, bila kembali bermusahabah, baru kita dapat lihat kembali sejauh mana kita layak bergelar pemimpin dan sejauh mana kita melaksanakan amanah kita. Makin jauh kita bergerak, makin banyak yang kita perolehi. Makin jelas juga lompong yang perlu kita perbaiki.

Ini yang saya rasai sekarang dalam menunggu detik-detik dipancung di pentas mesyuarat agung. Kata seorang senior, ia umpama akhirat kecil. Semua gerak kerja kita kita dibentangkan di hadapan semua orang dan kita bakal disoal hingga ke sekecil-kecil benda. Sungguh, saya sangat takut. Takut tidak berjaya melunaskan tugas seperti yang diharapkan oleh orang ramai. Takut terkaku di atas pentas tanpa sebarang jawapan. Bila tiba waktu ini, barulah mula terbayang ini baru sesi dunia, belum sesi akhirat lagi. Allah...

Ini adalah antara pengalaman saya sepanjang sesi ini. Dari seorang manusia yang bertatih mengenal tugasan, saya gagahkan diri belajar mengenal selok-belok persatuan. Saya baru setahun. Masih belum cukup pengalaman seperti senior yang lain. Tapi jujur saya katakan, ini antara pengalaman hidup saya yang paling berharga. Peluang datang bukan selalu. Maka, sesekali ambillah peluang ada untuk belajar.

Pada yang baru naik, rebutlah peluang yang ada untuk berguru dengan senior-senior persatuan yang sangat kaya dengan pengalaman dan skill mereka. Jawatan bukan sekadar suka-suka. Tapi memegang jawatan ibarat menjadi hamba. Banyak yang perlu dikorbankan. Cumanya kalau tahu cara, kalian bakal jadi raja. Raja dalam kehidupan supaya tidak mudah lemah dengan dugaan.

Buat rakan seperjuangan yang bakal meneruskan jalan di dalam persatuan, tahniah juga takziah. Allah Maha Hebat membuat pertimbangan. Bersyukurlah kalian masih berpeluang 'berfikir untuk ummat' secara total. Kami di bawah akan terus menyokong kalian dari pelbagai sudut tak kira tepi, depan atau belakang. Moga terus berjaya mengemudi bahtera PERMAI dan mengangkat panji Allah di sepanjang perjalanan.

Salam AGM~

** 17 hb adalah tarikh mengundi. Jom Undi ramai-ramai! Serlahkan tema : KEMATANGAN BERPERSATUAN dengan memperlihatkan kecerdikan dan kematangan anda mengundi calon-calon bakal pemimpin Irbid di masa depan.

** Tahniah pada skuad DEBAT, skuad Kebudayaan Akhawat dan skuad Kebudayaan Syabab yang masing-masing menggondol johan dalam MEKAR MPPM baru-baru ini. Good Job!

** Selamat Kembali Ke Malaysia buat kakak-kakak graduan Just dan Yarmouk sekelian! Semoga terus berjaya dalam fasa hidup seterusnya. Semoga kita jumpa lagi di Malaysia nanti.

** Lagi seminggu nak AGM. Sangat sibuk, sangat penat, sangat tak sabar nak habis, sangat sedih. Cuak + Gembira + Berat = Apa nak kata ya? Alhamdulillah hampir ke penghujung.

** Summer di Jordan tahun ini adalah sangat panas. Tak sabar nak habis kelas dan balik Malaysia.

3 comments

arina | July 13, 2009 at 9:12 PM

aku bangga dgn ko!

chilavek | July 18, 2009 at 1:07 AM

hahahahahha......baru nak sedor rupenye.......huhuhuhuhuhu
baguih la kalau cam tu......
dah abis nie....tanknak sambung lagi ke?

Ainul Arina Madhiah | July 18, 2009 at 5:56 AM

arina:
thanks sbb banyak tolong aku. ^_^

asyraf:
ok la dari kak ina tak sedar langsung. hehe
erm, pasal nak sambung tu macam tak kot. cukuplah setakat tolong support dari bawah. kasi can orang lain plak. ^_^

Powered by Blogger.
There was an error in this gadget

Text Widget

Contact Form

Name

Email *

Message *

Popular Posts

Flickr Images